Thursday, April 8, 2021

BBM3410-2021-MINGGU3-CERITA SOSIAL 2

 

CERITA SOSIAL 2

RUJUKAN Normaliza Abd Rahim (2019), Kajian Wacana Dan Strategi Komunikasi Teori Dan Aplikasi, Penerbit UMT, Universiti Malaysia Terengganu 21030 Kuala Nerus Terengganu. 

Buku cerita sosial 2 yang bertajuk “Saya yang istimewa” ini mengisahkan kehidupan sebuah keluarga yang mempunyai nilai positif terhadap jiran tetangganya.  Jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti.

Langkah yang paling pragmatik untuk memupuk semangat kejiranan yang terdapat dalam cerita sosial ini adalah ibu bapa menjadi tauladan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana, ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sebagai contoh yang terdapat dalam cerita sosial ini ialah ibu bapa Alim mendidik Alim dan adik beradiknya yang lain supaya sentiasa berkongsi rezeki dengan jiran tetangga. Kata ibu dan bapa Alim “ berkongsi barang atau makanan yang kita suka adalah satu perbuatan yang baik”.

Pada awalnya cerita ini, bapa Alim membawa pulang banyak buah-buahan yang dibeli di pasar tani. Keluarga Alim sangat gemar akan buah-buahan. Ketika sedang makan, Alim teringat akan jirannya iaitu Sulaiman. Lalu, Alim meminta kebenaran dengan ibunya untuk memberi sedikit buah-buahan ini kepada Sulaiman. Hal ini kerana, Alim teringat akan pesanan ibu bapanya bahawa berkongsi makanan dengan jiran merupakan satu perbuatan yang baik. Ibunya membenarkan Alim untuk memberi sedikit buah-buahan ini kepada Sulaiman. Ibu bapanya berasa sangat gembira kerana mempunyai seorang anak yang sangat baik dan sentiasa mengingati pesanannya.

Lalu Alim mengambil plastik dan memasukkan buah-buahan tersebut dan memberikannya kepada Sulaiman. Sulaiman mengucapkan terima kasih dan Sulaiman sangat gembira mempunyai jiran dan rakan sebaik Alim. Ibu Sulaiman juga mengucapkan terima kasih kepada Alim. Kata ibu Sulaiman “ Alim seorang anak yang baik, dan Mak Cik Timah suka Alim baik dengan Sulaiman”. Ketika Alim berlalu pergi dari Kawasan rumahnya, Mak Cik Timah mendoakan mendoakan kesihatan dan kesejahteraan buat Alim sekeluarga.

Berdasarkan cerita ini, kita haruslah mengamalkan semangat kejiranan kerana hidup berjiran amat penting dalam kehidupan. Hal ini kerana ia mendatangkan banyak manfaat dan menyatupadukan seluruh masyarakat. Jelaslah bahawa betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam membentuk kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Oleh itu, masyarakat haruslah berganding bahu, bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam usaha menjadikan kehidupan berjiran sebahagian daripada amalan dan budaya masyarakat di Malaysia.

Namum begitu, dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur seterusnya menjejaskan perpaduan negara. Ada juga pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh.

Sebagai penutup cerita diatas, kita dapat simpulkan bahawa pelbagai kepentingan yang terkandung dalam semangat kejiranan. Tuntasnya, semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan dasar kepada pembinaan negara malah sumbangannya adalah mustahak bagi memastikan sebuah negara kekal berdaya saing dan mencapai kemajuan yang disasarkan secara tidak langsung.


KEHADIRAN 8/4/2021




   

No comments:

Post a Comment

SENARAI TAJUK TUGASAN BBM3410 2021

1. BIODATA SAYA   2. CERITA SOSIAL 1 3. PENDEKATAN ANALISIS WACANA 4. NOTA ELEMEN ASAS GRAFIK 5. ASAS GRAFIK MUDAH 6. ASAS GRAFIK WARNA 7. A...